NGO dakwa wujud cadangan aktiviti ladang hutan di Hutan Simpan Chini

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan menyemak dakwaan wujudnya cadangan pembangunan ladang hutan dalam Hutan Simpan Chini.

-Advertisement-

Dalam reaksi ringkas menerusi aplikasi WhatsApp, Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin, berkata beliau akan menyemak dahulu dakwaan itu.

“Saya semak dulu,” katanya kepada BH.

Terdahulu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), RimbaWatch, mendakwa wujud cadangan menjalankan aktiviti pembangunan ladang hutan di Tasik Chini yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Chini dalam daerah Pekan, Pahang.

Ladang yang dicadangkan itu berkongsi sempadan dengan Rizab Biosfera UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu) dan berada dalam kawasan dicadangkan kerajaan sebagai ‘Zon Pinggiran Biosfera’, sebagai sebahagian daripada Rancangan Kawasan Khas Tasik Chini.

Susulan itu, RimbaWatch menggesa pihak berkuasa menolak sebarang cadangan penanaman ladang hutan di Hutan Simpan Chini dan sebarang laporan kajian penilaian kesan kepada alam sekitar (EIA) mengenai projek terbabit.

RimbaWatch mendesak kerajaan melindungi tasik terbabit dengan membatalkan sebarang perancangan menukar sebahagian kawasan sebagai ladang hutan.

Dalam kenyataannya, RimbaWatch mendedahkan, sebahagian dokumen berhubung cadangan berkenaan, membabitkan aktiviti pembangunan ladang hutan 1,625.70 hektar di kawasan terbabit.

Berdasarkan dokumen dikongsi menerusi laman sosialnya, RimbaWatch mendakwa, projek itu dicadangkan atas sembilan kompartmen kawasan Hutan Simpan Chini.

Dokumen itu juga menyatakan taklimat dan sesi dialog dijalankan hari ini oleh syarikat perunding yang dilantik menjalankan kajian EIA bagi cadangan aktiviti terbabit.

“RimbaWatch meminta pihak berkuasa menolak cadangan pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Chini, selain mengklasifikasikan kawasan terbabit sebagai ‘hutan yang dilindungi’ mengikut Seksyen 10(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

-Advertisement-

“RimbaWatch menggesa semua aktiviti pembalakan atau konsesi lain di Hutan Simpan Chini dibatalkan dan kawasan itu dikembalikan kepada negeri untuk dipelihara sebagai hutan Nilai Pemuliharaan Tinggi.

“Pihak berkuasa juga perlu menutup program perladangan hutan merentasi Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, RimbaWatch menggesa Jabatan Perhutanan Negeri menyatakan berhubung aktiviti ladang hutan yang membabitkan penebangan hutan.

Katanya, mereka juga perlu bertanggungjawab ke atas kerosakan biodiversiti, komuniti dan iklim yang disebabkan oleh program perladangan itu.

“Penukaran sebahagian daripada kawasan rizab itu kepada perladangan akan menyebabkan kehilangan stok karbon.

“Sedangkan Malaysia mempunyai komitmen antarabangsa untuk memelihara dan meningkatkan sinki karbon semula jadinya, termasuk hutan, di bawah Perjanjian Paris Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai perubahan iklim.

“Projek yang dicadangkan tidak selari dengan komitmen ini dan boleh memberi kesan kepada matlamat pengurangan iklim Malaysia,” katanya.

Tasik Chini yang berkeluasan 6,922.97 hektar adalah Tapak Rizab Biosfera pertama di Malaysia, yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO) menerusi Program Man and the Biosphere (MAB) pada 26 Mei 2009.

Selain Tasik Chini, Malaysia turut mendapat pengiktirafan UNESCO bagi Banjaran Crocker, Sabah pada 12 Jun 2014 dan Bukit Bendera, Pulau Pinang pada 15 September 2021.

– Berita Harian