Pulau Andaman Fasa 1 perbandaran pertama terima anugerah hijau

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Projek perbandaran Pulau Andaman Fasa 1 yang dibangunkan oleh pemaju hartanah, Eastern & Oriental Bhd (E&O), dianugerahkan Pensijilan Sementara Platinum GreenRE di bawah kategori perbandaran.

-Advertisement-

GreenRE ditubuhkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) pada 2003 untuk mempromosikan kemampanan dalam sektor hartanah Malaysia.

Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, pengiktirafan berkenaan menjadikan Andaman sebagai perbandaran pertama di Malaysia yang menerima anugerah berkenaan, sekali gus menjadi bukti komitmen syarikat terhadap pembangunan dan kehidupan yang mampan.

Katanya, Andaman bukan sekadar pulau bandar, ia adalah kerjasama di antara E&O dengan KWEST, yang memberi komitmen kepada pembangunan dan kehidupan yang mampan.

“Di Andaman, kami telah meningkatkan penggunaan bahan kitar semula, menggunakan bahan binaan yang mempunyai jejak karbon yang rendah, dan meningkatkan kitaran hayat bahan yang digunakan.

“Di tengah-tengah Andaman adalah kehidupan hijau dan bangunan komuniti. Dengan ruang hijau tertanam di seluruh pulau, penduduk boleh menikmati kawasan terbuka yang luas di pulau bandar ini.

“Kami berusaha untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dengan membangunkan persekitaran yang mesra pejalan kaki dan berbasikal dengan laluan pejalan kaki dan berbasikal yang khusus serta persiaran pinggir laut yang luas dalam meningkatkan hubungan di dalam Andaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penganugerahan Pensijilan Sementara Platinum GreenRE yang diadakan di Pulau Pinang, hari ini.

Majlis itu turut disiarkan secara maya.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

-Advertisement-

Pulau Andaman ialah pulau buatan berkeluasan 291 hektar di Pulau Pinang yang akan menjadi projek perbandaran bersepadu terbesar di Malaysia oleh pemaju hartanah tunggal.

Ia mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM60 bilion.

Mengulas lanjut, Tuck Cheong berkata, di Andaman, pihaknya mempromosikan pengangkutan mesra alam dengan memasang kemudahan hijau di seluruh pulau dan melaksanakan lorong bas eksklusif.

Katanya, inisiatif itu bukan sahaja mengurangkan penggunaan bahan api berasaskan karbon tetapi juga mengurangkan kesesakan jalan raya, menjadikan pengangkutan awam pilihan yang lebih menarik untuk perjalanan pantas dan mudah ke destinasi utama di Pulau Pinang.

“Pada Disember 2021 kami melancarkan projek pertama kami di Andaman – The Meg, projek pangsapuri khidmat sebanyak 1,020 unit yang telah dijual sepenuhnya dalam tempoh 13 bulan, diikuti dengan projek kedua kami- Arica pada bulan Mac 2023 dengan 380 unit telah menerima jualan yang memberangsangkan.

“Kedua-dua projek ini juga telah mencapai Sijil Sementara GreenRE Platinum untuk kategori kediaman,” katanya.

Tambah beliau, bangunan hijau mereka menggabungkan infrastruktur dan kemudahan yang menyokong operasi karbon rendah dan pengangkutan, penyejukan dan pengudaraan semula jadi, kecekapan tenaga, pemuliharaan air, bahan binaan mampan, sistem pengurusan sisa, dan program kitar semula.

“Dengan menyepadukan langkah kecekapan tenaga dan air, kami memulihara sumber semula jadi yang berharga dan mengurangkan perbelanjaan untuk pemilik rumah, membolehkan penduduk menikmati gaya hidup yang selesa sambil memperjuangkan masa depan yang lebih hijau dan mampan untuk generasi akan datang,” katanya.

– Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373