Zeti sahkan Apandi Ali kurangkan denda 1MDB kepada RM15 juta

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Bank Negara Malaysia (BNM) mencadangkan denda berjumlah RM23 juta dikenakan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), namun Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, mengurangkan denda berkenaan kepada RM15 juta.

-Advertisement-

Pengesahan itu dibuat bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Datuk Seri Najib Razak, yang berdepan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-47 itu berkata, perkara berbangkit dibincangkan dengan Menteri Kewangan II ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, sebelum 1MDB membayar denda berkenaan.

Zeti juga mengesahkan tiada pengetahuan apabila Muhammad Shafee bertanyakan sama ada terdapat percubaan oleh Najib yang juga Menteri Kewangan ketika itu untuk mengetepikan denda ke atas 1MDB.

Terdahulu, Muhammad Shafee memfokuskan beberapa urus niaga membabitkan wang AS$1.83 bilion berkaitan syarikat terbabit.

Peguam itu mempersoal sama ada lembaga pengarah 1MDB sedar pengurusan syarikat berkenaan membuat pengisytiharan palsu mengenai wang itu, sebelum Zeti memaklumkan tidak tahu mengenai perkara berkenaan.

“Semua penghantaran wang dibuat antara 2009 dan 2011, jadi saya tidak tahu apa yang lembaga berkenaan tahu pada masa itu,” kata saksi terbabit.

Muhammad Shafee kemudian menekankan mengenai soal tadbir urus korporat bahawa urus niaga seperti itu perlu dikemukakan kepada lembaga pengarah sebelum Zeti bersetuju bahawa perkara dibangkitkan adalah prosedur sah.

Muhammad Shafee: Kamu tidak boleh mengatakan lembaga pengarah bersetuju atau ia hanya dikendalikan oleh pihak pengurusan?

Zeti: Untuk perkara sedemikian, lembaga pengarah dan pemegang saham (Kementerian Kewangan) perlu dimaklumkan.

Muhammad Shafee: Itu dalam situasi yang ideal. Kami tahu bahawa 1MDB dijalankan secara tidak ideal, jika sebaliknya kamu tidak akan berada di sini untuk memberi keterangan?

-Advertisement-

Zeti: Saya sebenarnya tidak tahu apa yang lembaga itu tahu. Lembaga pengarah dan pemegang saham perlu dimaklumkan mengenai denda yang akhirnya dibayar, jadi 1MDB mengaku salah dalam penyerahan maklumat.

Selain itu, Muhammad Shafee bertanyakan kepada Zeti mengenai kod nama akaun Najib.

Peguam berkenaan berkata pada masa itu, terdapat isu dengan institusi kewangan yang mendedahkan butiran peribadi akaun, maka penggunaan kod bukan perkara luar biasa.

Muhammad Shafee: Adakah kamu atau BNM tahu bahawa kod peribadi menyebabkan kekeliruan bukan saja pada kakitangan AmBank tetapi pada bank antarabangsa lain?

Zeti: Tidak, saya tidak tahu.

Muhammad Shafee: Terdapat pertanyaan (mengenai kod itu) daripada Wells Fargo (bank di Amerika Syarikat). Mereka bertanya untuk siasatan AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001)?

Zeti: Tidak, saya tidak tahu.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373