Dua warga AS maut selepas dijangkiti meningitis di hospital Mexico

Estimate Reading Time: 2 minutes

MEXICO CITY: Dua warga Amerika Syarikat (AS) meninggal dunia selepas dijangkiti meningitis dipercayai ketika menerima rawatan di hospital di bandar sempadan utara Mexico, Matamoros.

-Advertisement-

Menurut kenyataan pihak berkuasa semalam, mereka sedang menyiasat 10 kematian selain kira-kira 400 lagi kes yang disyaki di hospital sebuah bandar di seberang sempadan dari Brownsville, Texas.

“Pencemaran menjadi punca kematian itu,” kata Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador, pada sidang akhbar ketika ditanya mengenai laporan mengenai pencemaran di hospital di Matamoros itu.

Tambah beliau, ubat bius yang digunakan dalam pembedahan plastik tercemar dan digunakan di dua hospital swasta dan mengakui kematian berlaku, tanpa menyatakan jumlah sebenarnya.

Jurucakap kedutaan AS di Mexico mengesahkan dua warga AS meninggal dunia di Matamoros, tanpa menyatakan perincian nama atau lokasi kematian.

Menteri Kesihatan negeri Tamaulipas, Vicente Joel Hernandez, dalam temu bual lain memaklumkan terdapat lima kes meningitis yang disahkan di Matamoros dan menyatakan pemindahan kulat mencemarkan ubat bius yang digunakan di hospital.

Pada Mei lalu, beliau dilaporkan berkata, pentadbirannya sudah menyiasat 400 kes yang disyaki.

-Advertisement-

Pada 17 Mei lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengeluarkan notis perjalanan kesihatan selepas beberapa rakyat AS yang pulang dari Matamoros disahkan menghidap jangkitan meningitis berkulat.

Ia disyaki membawa kepada penyakit teruk dan kematian, menurut satu kenyataan yang diterbitkan pada laman sesawang kedutaan.

Sementara itu di Los Angeles, Lebih 200 pesakit AS mungkin berisiko mendapat meningitis berkulat selepas menjalani prosedur pembedahan di klinik di bandar sempadan Mexico, menurut amaran terkini CDC AS.

Rabu lalu, CDC memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Mexico dan pegawai tempatan serta negeri untuk bertindak balas terhadap wabak yang dikaitkan dengan pesakit menjalani prosedur di bawah ubat bius epidural di Matamoros, Mexico, di seberang sempadan dari Brownsville, Texas.

Katanya, pegawainya mengenal pasti dua klinik yang dikaitkan dengan wabak itu, Pusat Pembedahan River Side dan Clinica K-3, yang mana operasi kedua klinik berkenaan ditutup pada 13 Mei tahun ini.

CDC sedang bekerjasama dengan 25 Jabatan Kesihatan negeri dan tempatan untuk menjejaki individu di AS berpotensi terdedah dan menasihati mereka pergi ke pusat kesihatan terdekat, pusat penjagaan kecemasan atau bilik kecemasan bagi ujian diagnostik meningitis. – AGENSI

– Berita Harian