Kestabilan politik pasca PRN perkukuh daya saing negara

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan kestabilan politik pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mengharungi cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.

-Advertisement-

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata jika arena politik negara masih goyah dan tidak mempunyai daya tahan, ia bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi tetapi turut menjejaskan sosio dan budaya.

Beliau berkata, dalam misi melaksanakan Ekonomi MADANI oleh Kerajaaan Perpaduan, antara agenda utamanya ialah memperbetulkan struktur ekonomi negara yang berada pada posisi yang mencabar.

Malah, katanya cabaran itu menjadi lebih getir memandangkan Malaysia kini bukan lagi negara utama yang menerima peratusan pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi di rantau ASEAN.

“Sebagai perbandingan, pada 1990, Malaysia menerima 20 peratus dari keseluruhan FDI tetapi pada 2020, hanyalah tujuh peratus sahaja.

“Ketidakstabilan politik menjejaskan nilai kompetitif negara. Data daripada Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) menunjukkan pada 2010, Malaysia berada pada kedudukan ke-10 tetapi pada 2022 ia menurun kepada 32.

“Begitu juga laporan kompetitif oleh Forum Ekonomi Sedunia (WEF) dimana negara pernah berada pada kedudukan ke-18 pada 2015, tetapi berada pada paras terendah iaitu 27 pada 2019,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, kerajaan negeri yang kukuh boleh menyeimbangkan pembangunan di peringkat nasional memandangkan kestabilan politik di peringkat negeri dan pusat adalah berkait rapat.

Beliau berkata, kestabilan politik negeri akan memberi kekuatan kepada kerajaan negeri untuk lebih mudah membuat dan melaksanakan dasar yang baharu serta memperbaiki dasar sedia ada.

-Advertisement-

Katanya, peranan kerajaan negeri amat penting dalam melaksanakan pelan pembangunan yang diterajui oleh kerajaan persekutuan.

“Keserasian politik memudahkan dan mempercepatkan agenda pembangunan tanpa perlu digugat dengan ancaman tidak mendapat kerjasama atau tumpuan tertentu.

“Sinergi antara kerajaan negeri dan persekutuan adalah penting dalam keserasian membangunkan negara,” katanya.

Penganalisis ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, juga berpandangan sama dengan menyatakan kerajaan negeri yang kukuh akan memberi keyakinan kepada semua pemegang taruh.

Beliau berkata, ia merangkumi peserta industri, pelabur dan juga rakyat untuk terus menjadikan negeri yang terbabit sebagai destinasi pilihan bagi bermastautin, bekerja, berniaga dan juga melabur.

Katanya, jika kerajaan negeri yang stabil mempunyai aspirasi politik yang sama dengan kerajaan persekutuan, maka sinergi dan faedah nilai tambah akan dapat diperoleh dengan mudah dari segi urusan dan pelaksanaan apa sahaja inisiatif di peringkat persekutuan dan negeri.

“Kestabilan politik perlu diteruskan sehingga tamat penggal kerana pemegang taruh mahu melihat kesan jangka masa panjang,” katanya.

Seramai 9.7 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab di enam negeri esok iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

– BH