Parti lawan sokong Pheu Thai bagi bentuk kerajaan Thailand

Estimate Reading Time: < 1 minute

BANGKOK: Parti Pheu Thai Thailand semalam menerima rangsangan dalam usaha untuk membentuk kerajaan selepas parti kesembilan menyertai pakatan itu.

-Advertisement-

Selain itu, seorang anggota kanan parti lawan yang disokong tentera berjanji memberikan sokongan untuk cuba menamatkan kebuntuan.

Thailand berada bawah kerajaan sementara selama hampir lima bulan selepas tawaran pemimpin Parti Move Forward (MFP) untuk menjadi perdana menteri disekat dua kali oleh parti lawan konservatif dan pro-tentera.

Bekas sekutu MFP, parti Pheu Thai yang menduduki tempat kedua, minggu lalu mendahului usaha membentuk kerajaan, namun dijangka berdepan tentangan sama.

Pheu Thai bersedia untuk mencalonkan jutawan hartanah, Srettha Thavisin, sebagai perdana menteri dan memerlukan sokongan lebih separuh wakil rakyat termasuk Dewan Negara yang dikuasai oleh golongan setia kepada Raja.

Kerajaan Pheu Thai sebelum ini, yang disokong oleh keluarga jutawan Shinawatra, digulingkan menerusi rampasan kuasa tentera pada 2006 dan 2014, apabila kepentingannya bercanggah dengan golongan elit yang berkuasa dan tentera diraja.

Bagaimanapun semalam, seorang ahli Parlimen dari parti lawan berkata mereka akan menyokong Pheu Thai dalam mengatasi kebuntuan itu.

Ahli Parlimen, Pai Leeke dari parti pro-tentera Palang Pracharat, berkata lebih 40 daripada ahli Parlimennya yang dipilih bersetuju mengenai perkara itu.

-Advertisement-

“Kami bersedia untuk menyokong Pheu Thai kerana negara memerlukan kerajaan untuk bergerak,” katanya.

Pemimpin Palang Pracharat, Prawit Wongsuwan, adalah anggota tentera yang menyingkirkan Pheu Thai pada 2014.

Pheu Thai setakat ini membentuk pakatan dengan sembilan parti, yang mendapat 238 kerusi di Dewan Rakyat.

Calon perdana menterinya, Srettha, masih memerlukan sokongan daripada Dewan Negara, yang dilantik oleh junta dan memihak kepada pasukan konservatif.

– REUTERS

– BH