Percubaan zon bebas kenderaan di Banda Hilir disambut baik peniaga

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA: Pelaksanaan percubaan peringkat pertama zon bebas kenderaan di kawasan tumpuan pelancong sekitar Banda Hilir di sini, selama kira-kira enam jam

-Advertisement-

menerima maklum balas positif daripada peniaga.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ketiadaan kenderaan untuk tempoh itu membolehkan pengunjung dan pelancong mengambil kesempatan keluar membeli-belah atau menikmati makan malam di lokasi tumpuan pelancong sekitar Banda Hilir.

“Kebanyakan pengusaha perniagaan sekeliling menyambut baik kerana mereka dapat melanjutkan waktu operasi sehingga ke waktu tengah malam berikutan pengunjung yang ramai.

“Berkaitan aliran trafik pula boleh dibuat kajian hasil percubaan pertama ini dan nampaknya tidak begitu sesak. Aliran trafik di lingkaran keluar dari kawasan bangunan merah dapat dikawal dengan baik,” katanya.

Laluan sepanjang kira-kira 2.3 kilometer di kawasan tumpuan pelancong sekitar Banda Hilir ditutup kepada semua kenderaan dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam pada setiap Sabtu, bermula 19 Ogos.

-Advertisement-

Penutupan peringkat percubaan itu membabitkan laluan di Bangunan Merah, hadapan Menara Taming Sari dan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan menerusi inisiatif yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka.

Sebelum ini, EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, dilaporkan berkata percubaan dilaksanakan di bawah program ‘Ride and Run’ dan diadakan setiap Sabtu itu tidak membabitkan penutupan atau pemindahan premis perniagaan.

Katanya, sepanjang tempoh percubaan disediakan juga ‘buggy’ sebagai kenderaan membawa pengunjung ke destinasi pilihan mereka di sekitar kawasan terbabit.

– BH