Pinda laporan audit 1MDB: Pendakwaan masih belum fail petisyen rayuan

Estimate Reading Time: 2 minutes

Mahkamah Rayuan menetapkan 12 Sept untuk sebutan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, berikutan pendakwa raya tidak memfailkan petisyen rayuan.

-Advertisement-

Peguam Najib Alaistair Brandah Norman mengesahkan keputusan pengurusan kes rayuan melalui e-semakan awal hari ini, yang ditetapkan berikutan pendedahan bahawa pihak pendakwaan tidak memfailkan petisyen rayuannya, walaupun mereka telah memfailkan notis rayuan pada 9 Mac.

“Rayuan kes mengubah audit ditetapkan untuk sebutan fizikal di hadapan panel Mahkamah Rayuan pada 12 Sept,” kata Alaistair kepada Malaysiakini, sambil menambah bahawa sebutan mahkamah terbuka ditetapkan kerana petisyen rayuan tidak difailkan.

Ketika dihubungi, peguam N Sivananthan – yang bertindak bagi Arul Kanda – mengesahkan tarikh sebutan Mahkamah Rayuan, sambil menambah bahawa pihak pendakwaan setakat ini masih belum memfailkan sebarang petisyen rayuan.

Malaysiakini cuba menghubungi pihak pendakwaan berhubung perkara itu.

Di bawah amalan kehakiman biasa, rayuan yang dimulakan dengan notis rayuan tetapi tidak disusuli dengan petisyen rayuan (yang akan difailkan dalam tempoh 10 hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyediakan rekod untuk rayuan) berisiko luput atau dibatalkan.

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa pihak pendakwaan juga mempunyai pilihan untuk memfailkan permohonan lanjutan bagi memfailkan petisyen rayuan.

Isnin lalu, pasukan undang-undang Najib berhujah bahawa rayuan pihak pendakwaan dalam kes audit 1MDB terhadap bekas perdana menteri itu cacat kerana petisyen rayuan tidak difailkan.

-Advertisement-

Terdahulu pada 3 Mac, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan kedua-dua mereka daripada dakwaan salah guna kuasa membabitkan audit 1MDB.

Hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie (boleh dipertanggungjawabkan) terhadap kedua-dua mereka.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016 untuk menghalang sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan.

Bekas ahli parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kes rasuah berasingan membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International.

Najib juga mempunyai tiga lagi kes mahkamah jenayah yang belum selesai, iaitu perbicaraan rasuah 1MDB melibatkan RM2.28 bilion, kes pengubahan wang haram SRC International yang berasingan melibatkan RM27 juta, dan kes pecah amanah jenayah International Petroleum Investment Company (IPIC) berjumlah RM6.6 bilion.

– Malaysiakini