Syarikat judi sahkan MD diikat jamin, sedang bekerjasama

Estimate Reading Time: 2 minutes

RGB International Bhd (RGBI), yang sedang disiasat kerana didakwa membiayai kempen pilihan raya menggunakan wang sogokan perjudian, mengesahkan bahawa beberapa pengarahnya telah dilepaskan melalui ikat jamin, dan sedang bekerjasama dengan SPRM.

-Advertisement-

“Lembaga Pengarah RGBI ingin menjelaskan lanjut bahawa Pengarah Bebas Bukan Eksekutif RGBI Norazman Hamidun tidak lagi ditahan oleh SPRM.

“Pengarah Urusan RGBI Chuah Kim Seah pula kini diikat jamin dan memberikan kerjasama penuhnya dalam siasatan itu. Syarikat ingin menekankan bahawa siasatan tertumpu kepada perniagaan peribadinya yang berkaitan dengan kelab slot.

“Penglibatan RGB dalam siasatan ini adalah semata-mata berkaitan penjualan mesin perjudian kepada kelab slot Malaysia,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) semalam.

Semalam, RGB International Bhd menafikan syarikat itu terlibat dalam sebarang bentuk pembiayaan kempen pilihan raya seperti yang sedang disiasat oleh SPRM.

Menurut syarikat itu, RGB Sdn Bhd, anak syarikat milik penuhnya hanya melakukan penjualan langsung mesin slot dan aksesorinya, serta tidak mempunyai penglibatan atau pemilikan dalam kelab slot Malaysia.

“Syarikat ingin menyatakan bahawa ia tidak dan tidak akan membenarkan sebarang bentuk ‘pembiayaan politik’,” katanya.

-Advertisement-

Syarikat itu seterusnya menegaskan bahawa pengarahnya tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik dan sedang bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan SPRM.

Isnin lalu, adalah dilaporkan bahawa siasatan SPRM didakwa menemui bukti yang menunjukkan bahawa dana daripada beberapa syarikat perjudian digunakan untuk membiayai sekurang-kurangnya tiga kempen pilihan raya sejak 2018.

SPRM mendapati dana bernilai RM6 juta hing­ga RM7 juta itu dipercayai di­terima orang kenamaan dan pemimpin politik selepas syarikat perjudian ter­sebut diberi lesen mengope­rasikan aktiviti mesin slot di kelab persendirian dan persa­tuan dimiliki syarikat pengendali mesin judi.

Sebahagian daripada dana itu kemudiannya didakwa digunakan untuk membiayai kempen semasa pilihan raya umum ke-14 dan ke-15, serta enam pilihan raya negeri baru-baru ini.

Sekurang-kurangnya 14 orang dilaporkan telah ditahan dan lebih ramai lagi akan dipanggil bagi menyelesaikan skandal perjudian membabitkan rasuah berkenaan.

– Malaysiakini